PROFIL

PENGENALAN

Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) dicadangkan untuk mendukung hasrat UNISEL bagi menjadi universiti terulung dalam menghasilkan para professional dan ilmuan yang memiliki etika terpuji. Tujuan ini akan dijayakan melalui jaringan kerjasama dengan komuniti lokal khususnya dan komuniti antarabangsa amnya. Warga kampus yang prihatin dapat dilahirkan melalui aktualisasi ilmu inovatif yang bersifat holistik bagi menyebarkan dan membudayakan ilmu dalam seluruh lapisan komuniti. COMNET diharapkan dapat memupuk hubungan yang erat dengan komuniti di luar serta dapat membantu menangani isu dan keperluan komuniti. Pendekatan yang diambil adalah dengan melibatkan warga kampus dengan aktiviti komuniti, melipatgandakan usaha memahami keperluan komuniti dan memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada komuniti. Langkah ini merupakan pemangkin kepada pembangunan modal insan yang progresif dalam memperkembangkan potensi mahasiswa secara bersepadu dan seimbang dari segi akademik dan insaniah. Struktur fizikal universiti (kampus) sudah pun mewujudkan dikotomi antara komuniti awam dan warga kampus. Lebih disesalkan apabila roh keilmuan universiti juga terpisahkan daripada pemikiran komuniti awam. Maka pendekatan outreach atau down to earth mesti dilakukan agar peranan universiti dirasai oleh segenap aspek kemanusiaan bahkan pelestarian persekitaran. Penglibatan ahli akademik dan mahasiswa sama ada atas kapasiti fakulti, jabatan, bahagian, unit atau badan organisasi mahasiswa harus ke lapangan komuniti bagi meninjau realiti, mengenalpasti permasalahan, mencari mekanisme solusi dan memberi khidmat. Ini penting untuk memastikan fungsi dan falsafah universiti kekal relevan sebagai faham : universiti adalah komuniti dan komuniti adalah universiti. Bagi menyediakan perkhidmatan kepada pihak komuniti, COMNET berperanan sebagai perantara kepada entiti yang berminat melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Universiti (University Social Responsibility - USR). COMNET akan mengenal pasti entiti dalaman dan luaran yang ingin melaksanakan program CSR dan menghubungkan dengan komuniti sasaran. Usaha COMNET merealisasikan matlamat ini memerlukan sokongan semua entiti dalam universiti agar satu kesedaran sosial terbit secara alami. Nilai-nilai teras seperti integriti, inovasi, akauntabiliti, kualiti dan cemerlang, keterbukaan dan semangat setia kawan adalah asas untuk mencapai motto UNISEL iaitu Mencorak Komuniti.

VISI

"Melahirkan kepimpinan sukarelawan berinovasi dalam jaringan khidmat komuniti"

MISI

 

"Beriltizam menyediakan penyelesaian masalah komuniti secara inovasi komuniti"

MOTTO

"Membina Jaringan Komuniti-Universiti Sejahtera"