Mahasiswa Berjasa Pilihan Bijak

Seminar UNISEL Cakna Bersama Mahasiswa Khidmat Komuniti yang menampilkan beberapa orang panelis berjaya menarik lebih 400 orang peserta bagi mengikuti perbincangan bertemakan kesukarelawanan dan peranan mahasiswa. Sdr Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bermula dengan mengupas tentang peranan sebagai mahasiswa bijak adalah dengan memilih untuk menjadi orang yang memberi sebanyak-banyak (khidmat) kepada orang lain. Beliau yang merupakan Tokoh Belia Negara dan Asean memberikan pesan yang penting dan besar tentang kepentingan terlibat dalam organisasi masyarakat seperti MBM yang dapat menyuarakan suara rakyat kepada kerajaan.
Sdr Ahmad Fahmi Samsuddin, CEO Global Peace Mission Malaysia (GPM) pula berkongsi pengalaman sebagai petugas kemanusiaan berbakti di Syria, Turki, Bangladesh, Aceh dan banyak lagi. Hadirin sangat teruja dengan perkongsiaan video dan pembentangan yang sangat menginspirasikan dan ramai yang berminat untuk sertai sebagai sukarelawan GPM.
Sdr Izwan Suhadak Ishak, Pengarah COMNET turut memberikan pencerahan berkaitan karakter sukarelawan disamping memperkenalkan ikon aktivis masyarakat peringkat antarabangsa yang berjaya melakukan transformasi diri dan masyarakat lingkungan seperti Anna Hazare dari India dan Anies Baswedan dari Indonesia.
Seminar ini telah dikendalikan dengan baik oleh Sdr Ng Ming Yip selaku moderator program merangkap pengarah program. Acara telah ditutup secara rasmi melalui pidato inspirasi oleh Tuan Haji Amidi Abdul Manan, Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti di Dewan Naib Canselor, Kolej Kediaman UNISEL Kampus Bestari Jaya. Inisiatif program ini merupakan anjuran Pusat Pengajian Asasi dan Umum dengan usahasama Pusat Jaringan Komuniti dan Kegiatan Pelajar (COMNET).